...LAKARAN HATI...

sesungguhnya seorang ulama berkata, "Pertahankanlah bisikan yang berdetak agar tetap di hatimu. Jika tidak, ia akan berubah menjadi buah fikiran. Apabila telah berubah, pertahankanlah semampumu agar ia tetap berada dalam fikiranmu. Jika tidak ia akan berubah menjadi nafsu berahi. Kendalikanlah nafsu agar ia ditundukkan. Jika tidak, akan lahir perancangan buruk dalam bentuk kehendak. Jagalah kehendak itu kerana jika tidak, ia akan menjadi perbuatan maksiat. Jika perbuatan maksiat tidak dapat dicegah, ia akan menjadi temanmu sebagai suatu kebiasaan, dan adalah sulit bagi manusia untuk meninggalkan kebiasaan."

Tuesday 26 June 2012

KEHIDUPAN : PART I


Nyawa adalah satu nikmat yang cukup besar dikurniakan kepada insan yang bergelar manusia. Dialah yang Maha Pencipta, Dialah yang Maha Mengetahui dan Dialah jua yang Maha Agung. Aku panjatkan kesyukuran kepadaMu ya Rabb atas nikmat ini. Tiada kupinta untuk dilahirkan atas muka bumi ini tetapi Engkau jua yang Maha Mengetahui. Kehadiranku ini mempunyai makna, makna yang mendalam. Telah pun tertulis di dalam kitab Al Quran akan penciptaan ini.



Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. 51:56

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya" 2:30


Hampir 19 tahun aku menghuni bumi ini. Sejujurnya, manusia memang tidak lari dari melakukan khilaf yang ternyata memberi murka kepada Sang Pencipta dan sejujurnya, hati kecil ini jauh berbisik manusia ini juga banyak melakukannya. Tiada yang sempurna. Tapi belum  terlambat untuk menghapuskan karat itu kerana Dia Maha Mengasihani. Ya! Dia Maha Mengasihani. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hambaNya. Dia sentiasa memberi peluang yang nilainya lagi tinggi dari 100 jongkong emas. 


Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau dating menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.

HADIS SAHIH 42

Lihatlah manusia! Betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kasihan Allah SWT yang tidak
terbatas bagaikan lautan tidak berpantai untuk hambaNya. Allah berjanji akan mengampunkan segala dosa hamba-hambaNya yang berdosa walau berapa banyak dosa tersebut dengan syarat manusia tidak lekang berdoa, meminta ampun dan mengharapkan keampunanNya dan dengan syarat manusia mati dalam lman, tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu. Malangnya segelintir manusia alpa, tersasar jauh dari yang benar. Manusia langsung tidak terdetik hatinya akan kesalahan yang dilakukan. Langsung tidak terbit butir-butir keinsafan yang membawa kepada sinar tiada malapnya. Namun aku bersyukur ya Allah, pintu hati ini telah terbuka untuk kembali ke jalanMu, untuk menagih keampunanMu. Tapi aku tidak kuat sebagaimana para NabiMu yang berjuang menegakkan agamaMu, aku tidak setabah Bilal yang mulutnya tiada lekang memujiMu walau setiap saat diseksa bertalu-talu. Ya Allah, aku pohonkan kekuatan dari Engkau ya Allah. Kurniakanlah kepadaku ya Allah. Engkaulah tempat aku mengadu segala hal. Ameen….

Kehidupan ini sangat indah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Engkau telah melengkapkan kehidupanku dengan menghadirkan insan-insan yang sangat kucintai. Memang sukar bagiku sekiranya Engkau mengambil mereka dariku. Namun aku pasrah akan ketentuanMu, sudah pun tercatat di Luh Mahfuz akan coretan hidupku. Aku mengerti ya Rabb, rancangan Engkau adalah yang terbaik. Di saat nafas ini masih menghirup oksigen, menghembuskan karbon dioksida, aku bersyukur. Orang tuaku masih di sisi, memberikan kekuatan dalam menghadapi ujianMu. Merekalah nadi aku yang kedua. Mereka jua cermin yang setia menanti. Kasih sayang mereke tidak berpenghujung, sentiasa mengalir dalam arus kehidupanku. Manusia, berbuat baiklah pada ibu bapa. Jangan sesekali kecilkan hati mereka, membiarkan mereka terkapai-kapai untuk meraih kasih anak mereka. Mereka berhak untuk memiliknya. Walaupun kita tidak dikurniakan kekayaan dan pendidikan yang tinggi, namun jika kita anak yang taat dan patuh pada suruhan mereka, lihatlah nanti. Hidup kita akan tenteram dan bahagia serta hati menjadi tenang dan gembira. Itu adalah hadiah ‘istimewa’ dari Allah.

Ayah, keampunan darimu satu anugerah buatku…
Bonda, berdosalah aku jika di telapak
Kakimu tidak kutemui syurga…

Tak mahu menjadi hamba dunia
Dengan Qanaah, semuanya cukup
Andai derhaka kepada orang tua
Rosak pahala, semuanya lingkup

Ayuhlah berdoa setiap waktu
Untuk ayah dan juga bonda
Restu dan rahmat semuanya bersatu
Sejahteralah hidup hingga ke syurga

Nukilan,
AHMAD FEDTRI YAHYA

Teringat pula akan satu kisah menceritakan tentang keberkatan doa ibu. Inilah sebuah kisah teladan untuk para manusia.

Juraij adalah seorang hamba yang taat beribadah kepada Allah SWT walaupun ibunya masih hidup, beliau lebih banyak menghabiskan masa di sebuah pondok yang didirikan bagi melakukan pelbagai amalan yang mendekatkannya kepada Tuhannya.

Suatu hari, ibu Juraij datang ke pondok beliau untuk berjumpa dengannya sedangkan beliau sedang mngerjakan solat sunat. Lalu, ibunya memanggil namanya, “wahai Juraij!” Juraij mendengar panggilan ibunya namuun beliau rasa serba salah, “ibuku atau solatku?” katanya di dalam hati. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk meneruskan solatnya dan tidak menyahut panggilan ibunya. Tetapi ibunya terus memanggil Juraij. Sama seperti sebelumnya, setiap kali mendengar panggilan si ibu, Juraij berasa serba salah namun tetap meneruskan solat. Setelah panggilan ketiga tidak dijawab, ibu Juraij berkata, “Semoga Allah tidak mematikanmu sehingga kamu dapat melihat wajah para pelacur.” Kemudian, ibunya berlalu pulang ke rumah.

BERSAMBUNG…


No comments:

Post a Comment